20 Jun 2013

Audit Bahasa

Pengenalan
Program Audit Bahasa Melayu yang disarankan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Dr. Awang Sariyan  bertujuan adalah untuk memantau penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di peringkat perkhidmatan awam. Program ini dilaksanakan adalah untuk melihat sejauh mana bahasa Melayu diguna pakai dan dimartabatkan dalam perkhidmatan awam berpandukan kepada dua aspek utama iaitu dari segi mutu dan kualiti bahasa kebangsaan yang digunakan. Beliau semasa mengulas pembentangan kertas kerja yang bertajuk ‘Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam’ pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu begitu optimis sekiranya program ini dapat dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga tahun, penggunaan dan mutu bahasa Melayu yang digunakan akan melonjak.

Langkah Pelaksanaan Program Audit Bahasa Melayu Secara Sistematik
            Pihak kerajaan begitu komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti mana yang telah termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Bagi melaksanakan dan memantau penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam perkhidmatan awam, satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh pihak kerajaan iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berkata yang Kabinet bersetuju memantapkan peranan bahasa Melayu dan memperkasakannya sebagai bahasa ilmu.

“ Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam”.

            Ketua-ketua jabatan hendaklah bertindak secara proaktif dengan mewujudkan mekanisme di organisasi masing-masing bagi melaksanakan surat pekeliling ini serta mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjayakan hasrat murni kerajaan ini. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di setiap peringkat mengutamakan penggunaan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua pihak bermula daripada pemimpin negara, pegawai dan kakitangan kerajaan mestilah menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam semua urusan rasmi sama ada secara bertulis atau secara lisan. Mereka hendaklah berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan rakan sekerja dan semua pelanggan.
            Langkah seterusnya ialah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti surat menyurat, mesyuarat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, penulisan dokumen rasmi, iklan dan penamaan di tempat awam seperti kawasan perumahan dan premis perniagaan. Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia pada 11 Mac 2012, menyatakan hasil kajian yang telah dilakukan oleh beliau pada tahun 2007 mendapati ada sesetengah dokumen kerajaan, kementerian atau jabatan tertentu yang peratusan penggunaan bahasa Melayu masih rendah iaitu sekitar 70 % hingga 75 % sahaja. Malahan beliau juga mendapati ada pekeliling pada ketika itu,  tajuk utama sahaja yang menggunakan bahasa Melayu tetapi tajuk-tajuk kecil yang lain semuanya dalam bahasa Inggeris. Walhal pekeliling itu ditujukan kepada ketua jabatan di peringkat dalam negara.
            Kita menyedari masih ada kekurangan dan kelemahan oleh sesetengah pihak dalam menguasai bahasa Melayu ketika menjalankan urusan rasmi kerajaan. Masih ada lagi ejaan yang salah, penggunaan perkataan yang tidak tepat dan kesalahan tatabahasa semasa menulis surat menyurat atau mencatat minit mesyuarat. Sejajar dengan Program Audit Bahasa Melayu dan saranan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran awam, wajarlah semua kakitangan kerajaan termasuk pegawai tertinggi di kementerian atau jabatan menghadiri semula kursus kemahiran bahasa Melayu bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu mereka. Penguasaan bahasa Melayu yang baik dapat membantu mereka menyampaikan maklumat sama ada secara lisan atau bertulis dengan lebih lancar dan berkesan.
            Selain itu, semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah seperti Program Khidmat Negara, Kursus Biro Tatanegara dan Kursus Induksi mestilah memasukkan program bahasa Melayu dan persuratan. Begitu juga dengan program latihan kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan seperti kursus dalam perkhidmatan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan sebagai salah satu komponen dalam kursus tersebut.
            Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara aktif dan terancang seperti yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Sambutan Bulan Bahasa yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Program ini sudah tentu dapat menyemarakkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di semua lapisan masyarakat. Kementerian dan jabatan juga mestilah menyediakan buku, bahan rujukan atau risalah pedoman bahasa kebangsaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam edisi terkini untuk kegunaan semua pegawai dan kakitangan seperti Kamus Dewan, Kamus Dewan Inggeris – Melayu, Kamus Dwibahasa, Tesaurus Umum Bahasa Melayu, buku-buku istilah dalam pelbagai bidang ilmu, E-Kamus dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi – Sebutan – Jawi. Semua pegawai perkhidmatan awam boleh merujuk kepada buku-buku ini untuk menambahkan perbendaharaan kata disamping meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Implikasi Program Terhadap Usaha Memartabatkan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Sektor Awam.
            Implikasi daripada program tersebut, beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah menyambut baik usaha yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran. Salah satunya ialah Jabatan Muzium Malaysia yang sedang melaksanakan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam urusan rasmi seperti mesyuarat jabatan, surat menyurat dan seminar tanpa mencampur adukkannya dengan bahasa lain. Keadaan ini telah disahkan sendiri oleh Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium Malaysia, Encik Haizuhailie Baharuddin yang dipetik oleh Bernama Online.. Beliau juga mengatakan yang Jabatan Muzium Malaysia akan menggunakan dwibahasa dalam sebarang kertas kerja melibatkan pihak antarabangsa dan akan menterjemahkan kertas kerja yang diterima daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.
Usaha yang dilakukan oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Melaka Bandar Raya Bersejarah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur yang telah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu yang betul pada papan-papan iklan di tempat awam patut dipuji. Menurut Ketua Pengarah DBP,  Prof. Dr. Awang Sariyan, berdasarkan kajian terbaru yang telah dijalankan oleh beliau didapati peratus penggunaan bahasa Melayu di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan telah mencapai tahap 80 % hingga 90 % berbanding pada tahun 2007 peratus penggunaannya hanya 70 % hingga 75 %.
Seterusnya, bagi memastikan penjawat-penjawat awam menggunakan bahasa Melayu yang betul dari sudut ejaan, sebutan dan tatabahasa, beberapa kementerian dan jabatan kerajaan telah mengadakan bengkel dan kursus bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pegawai dan kakitangannya. Salah satu daripadanya ialah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Menurut Ketua Bahagian Komunikasi perbadanan tersebut, Puan Tarbiyah Bachik, pihaknya telah mengadakan pelbagai bengkel dan kursus bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perbadanan.
Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan setiap tahun selama sebulan diharap dapat disemarakkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan profesion. Melalui aktiviti seperti Kembara Bahasa dapat menyatukan mereka di bawah satu matlamat iaitu untuk memartabatkan bahasa Melayu. Penyediaan pelbagai bahan rujukan seperti kamus dan tesaurus akan dapat membantu penjawat-penjawat awam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka sama ada dari segi komunikasi, sebutan, ejaan, tatabahasa dan kosa kata.
Selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, bahasa Melayu juga perlu bergerak seiring dengan berusaha lebih giat bagi mencipta istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. Istilah dan perkataan yang telah dicipta dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu perlulah digunakan secara meluas dalam semua urusan rasmi, karya-karya ilmiah dan karya-karya popular. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak 2  juta ringgit di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ganjaran akan diberikan kepada penulis yang karyanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tersebut semasa merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu anjuran GAPENA dan Majlis Muafakat Melayu Malaysia 2011.
Dalam pendidikan pula, Menteri Pengajian Tinggi telah mengisytiharkan semua kuliah utama di institusi pengajian tinggi awam mestilah dalam bahasa Melayu bagi menggnatikan dasar lama yang menetapkan 70 % kuliah perlu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. Menteri tersebut juga telah mengumumkan bahawa penghasilan karya dalam bahasa Melayu oleh ahli-ahli akademik akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat di institusi pengajian tinggi awam.
Penutup
            Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua warganegara tanpa mengira status sosio ekonomi. Tidak seharusnya berlaku dalam mengejar kemajuan ekonomi, kita mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama semua pihak seperti kementerian, jabatan,agensi kerajaan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu dalam membentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan impian memartabatkan bahasa Melayu akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment